13 Julai 2009

SIAPAKAH ULAMA' ?

Ulama mengikut Kamus Dewan ialah orang yang ahli(pakar) dalam pengetahuan Islam.Ramai orang menganggap ulama adalah orang yang semata-mata memiliki ijazah,masters dan ph.D. dalam bidang-bidang tertentu.Rupa-rupanya Tuhan menggunakan cara penilaian yang berbeza.Allah menjelaskan dalam surah Al-Fathir ayat 28 yang bermaksud :
Hanya yang takut kepada Allah adalah Ulama'
Golongan yang tidak takut kepada Allah tidak boleh dianggap sebagai Ulama'.Berhubung dengan ayat ini,Imam Ibn.Kathir berkata,"Sesungguhnya yang benar-benar takut kepada Allah ialah golongan arifin(yang mengetahui)kerana setiap kali ilumu mereka tentang Allah bertambah,perasaan takut mereka kepada Allah meningkat.
Sahabat Abdullah bin Abbas berkata, "Ulama' ialah mereka yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun.Disamping itu mereka menghalalkan apa yang Allah halalkan,mengharamkan apa yang Allah haramkan,memelihara perintah-perintahnya,yakin dengan pertemuan dengannya dan sentiasa melakukan muhasabah berhubung amalan diri sendiri. "Sahabat Abdullah bin Mas'ud berkata,"Yang berilmu bukanlah mereka yang banyak menghafal hadis tetapi yang berilmu ialah mereka yang takut kepada Allah"
Perasaan takut kepada Allah berbeza dengan perasaan takut kepada makhluk.Apabila kita takut kepada makhluk seperti harimau,singa,ular dan seumpamanya kita mungkin mengalami tekanan jiwa dan ingin melarikan diri daripada makhluk-makhluk itu.Hal ini tidak akan berlaku dalam konteks takut kepada Allah kerana perasaan takut kepada Allah merangsang kita untuk lebih mendekatiNya.Disamping itu,perasaan takut kepada Allah melahirkan sikap berhati-hati,bijaksana,malu,berwaspada dan halus budi dalam hidup.
Justeru,Imam Said bin Jubair berkata,"Takutkan Allah adalah satu(benteng)yang memisahkan kamu daripada maksiat."Imam Hasan Basri pula berkata,"Orang yang alim ialah dia yang takutkan Allah walaupun dia tidak melihat Allah dan disamping itu dia menyukai apa yang disukai Allah."
Inilah ciri-ciri utama yang ada pada Ulama'.Dapatlah dirumuskan daripada pandangan-pandangan ini bahawa Ulama' adalah pakar,cendekiawan serta ilmuan Islam yang sentiasa tunduk mengabdikan diri kepada Allah dengan jiwa yang luhur.Ilmu yang mereka miliki melahirkan perasaan takut kepada Allah sehingga menjadikan mereka golongan yang taat kepadaNya.
Sumber : Tip-tip Cemerlang Daripada Quran : Dr.Danial Zainal Abidin.

Tiada ulasan: