21 Julai 2009

KESAN DOSA DALAM KEHIDUPAN

Dosa Membutakan Mata Hati
Memadamkan Cahaya Hati,
Menutup Jalan-jalan Ilmu,
Menghijab Hidayah Allah.


Antara seksaan atau balasan dosa yang telah dilakukan,ialah bahawa dosa-dosa tersebut menyebabkan butanya mata hati,cahaya hati terpadam,pintu-pintu ilmu dan hidayah tertutup dan jalan hidayah terhijab.Imam Malik RA pernah menasihati Imam Syafie RA,ketika beliau belajar kepada Imam Malik yang menyaksikan tanda-tanda kecerdasan Imam Syafie,Imam Malik berkata :

"Saya telah dapat menyaksikan bahawa Allah SWT telah menganugerahkan nur atau cahaya dalam hatimu,maka janganlah engkau memadamkannya dengan kegelapan dosa dan maksiat."
Cahaya hati akan semakin pudar dan hilang manakala kegelapan maksiat semakin kuat,akhirnya hati laksana berada ditengah malam gelap gelita.Betapa banyaknya jurang kebinasaan yang menyebabkan hamba terjerumus,padahal dia sendiri tidak melihatnya.Ia tak ubah seperti si buta berjalan diwaktu malam menempuh jalan yang penuh dengan bahaya maut dan kebinasaan.Alangkah susahnya mencapai keselamatan.Alangkah mudahnya terdedah kepada kebinasaan.Lama-kelamaan kegelapan maksiat semakin kuat,menular dari dalam hati ke segenap anggota badan,lalu wajah diliputi kegelapan menurut kekuatan dosa dan pertambahannya.Di saat hamba telah meninggal dunia terjadilah suasana gelap di alam barzakh,lalu kuburnya diliputi kegelapan.
Apabila hari kiamat telah tiba,semua hamba telah berhimpun di padang mahsyar,wajah-wajah golongan penderhaka akan diliputi kegelapan,dengan terang dan nyata dapat dilihat dan disaksikan oleh semua orang.Wajah-wajah golongan tersebut benar-benar hitam dan menakutkan.Alangkah dahsyatnya seksaan dan balasan tersebut,tidak sebanding dengan semua kelazatan dunia dari awal hingga akhirnya.Betapa seorang hamba yang tercekik,penat dan letih,gugur dan tewas dalam masa yang singkat yang tidak ubahnya seperti mimpi.

Sumber :Kesan Dosa Dalam Kehidupan,Karya Ibnu Qayyim Terjemahan Oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis.Terbitan Anbakri Publika Sdn.Bhd.

Tiada ulasan: