22 Julai 2009

MENGEMBALIKAN MUTIARA YANG HILANG

Ramai orang yang mengkagumi kejayaan Salahuddin al-Ayubi mengalahkan tentera salib.Dengan bilangan tentera yang terhad beliau mampu berhadapan dengan tentera musuh yang ramai.Dalam keadaan kelengkapan perang yang tidak setanding,tentera Islam pimpinan Salahuddin berjaya mengucar-ngacirkan dan menumpaskan tentera musuh.
Di sebalik kekaguman itu mungkin tidak ramai yang mengetahui rahsia kejayaan Salahuddin.Ahli sejarah mencatatkan setiap malam Salahuddin akan meronda khemah-khemah tenteranya untuk memerhati apa yang mereka lakukan.Jelas pada keesokan harinya beliau akan memilih tentera di kalangan mereka yang menghidupkan malam dengan Qiamullail seperti solat sunat,membaca al-Quran,berzikir dan sebagainya untuk berperang menghadapi tentera musuh.Sebaliknya tentera yang tidur,berehat,berbual-bual kosong dan sebagainya akan ditinggalkannya.
Kejayaan Salahuddin al-Ayubi menjinakkan Richard The Lion Heart kerana beliau memimpin tenteranya yang memiliki ciri-ciri :
Ibarat Abid Pada Malam Hari,
Ibarat Singa Pada Siang Hari,
Inilah juga ciri-ciri yang dimiliki oleh sahabat,tabiin,tabi' tabiin dan orang soleh sejak zaman dahulu.Mereka hebat berjuang pada siang hari tetapi tetap menghidupkan malam dengan Qiamullail.Inilah yang dapat mereka contohi daripada peribadi Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diterangkan oleh Allah dengan firmanNya bermaksud :
"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik"(Surah al-Ahzab : 21)
Walaupun Baginda seorang yang maksum tetapi tetap mendirikan Qiamullail hingga bengkak kaki.Sejarah membuktikan mereka mencapai kejayaan dalam apa jua bidang sehingga Islam menempa satu tamadun yang unggul baik yang bersifat material mahupun spritual dan tiada bandingannya hingga ke hari ini.
Tamadun Islam jatuh merudum apabila umat mula lalai dengan kemewahan dan sikit demi sedikit meniggalkan Qiamullail.Umat Islam masih ibarat singa pada siang hari,tatapi singa yang mengejar kemewahan dunia.Sebaliknya mereka sudah tidak jadi abid pada malam hari.Ada yang terus jadi singa pada malam hari,memburu kemewahan dan hiburan.Tetapi paling ketara singa yang bekerja keras mencari kelebihan dunia pada siang hari akan menyimpan kuku dan tidur lena pada malamnya.
Kini umat Islam ibarat seorang buta yang kehilangan tongkat,teraba-raba mencari jalan tempat yang dituju.Sudah difikirkan dan dicuba pelbagai cara tetapi masih tidak berjaya.Itulah natijah kalau hanya mengikut panduan akal dan meminggirkan panduan Allah dan Rasul.

Sumber : Indahnya Saat Bersama-Mu : Nik Abd. Rahman Nik Abd.Ghani&Zahazan Mohamed : Terbitan Telaga Biru.




Tiada ulasan: